Warnakan Hidup Anak Anda

Warnakan Hidup Anak Anda

Sememangnya penting untuk kita mencipta pemimpin yang lebih baik daripada kita. Ketahui bagaimana konsep WARNA boleh mendidik mereka menjadi pemimpin dalam artikel ini.

6 min dibaca

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kali ini, saya ingin berkongsi sedikit tentang konsep ‘WARNAkan hidup anak-anak kita’. Ini merupakan salah satu tugas kta untuk melatih anak-anak kita menjadi pemimpin di masa hadapan. Sememangnya ini sangat penting untuk kita mencipta pemimpin yang lebih baik daripada kita. Konsep WARNA terdiri daripada lima perkataan iaitu Wawasan, Artikulasi, Respon, Nama baik dijaga dan Ambil tindakan.

 

Wawasan

Wawasan

 

Inilah ciri yang terpenting sekali. Semua pemimpin yang terulung terkenal dengan wawasan-wawasan mereka yang unggul. Ianya merupakan satu kebolehan memikirkan sesuatu yang melampaui zamannya dan mewujudkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membawa mereka kehadapan.

Orang yang berwawasan boleh berfikir secara kreatif sambil memberi imbangan antara logik dan pengetahuan asas. Mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pemikiran strategic. Mereka amat menyedari keperluan hari ini dan kemudian hari. Mereka amat menghayati persekitaran luaran dan juga keadaan diri sendiri. Mereka dapat melihat bagimana rupa dan rasa sebuah kejayaan. Yang paling pentingnya,mereka dapat melihat langkah-langkah yang perlu diambil kearah mencapai kejayaan.

Sikap ini perlu ada dalam diri anak-anak kita. Kita perlu sentiasa bertanya anak-anak kita apa yang mereka ingin lakukan di masa hadapan. Apakah masalah-masalah yang ingin mereka selesaikan dan apakah cita-cita mereka? Kadang kala mereka juga tidak mengetahui jadi kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa menanam wawasan yang baik agar mereka dapat mencapai potensi diri mereka.

 

Artikulasi

Artikulasi

Tetapi mempunyai wawasan sahaja tidak mencukupi: seorang pemimpin mesti membuatkan orang lain juga turut teruja dengan wawasannya itu.  Jack Welch , bekas pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif General Electric Co., berkata, “Pemimpin-pemimpin perniagaan yang baik mewujudkan wawasan, mengartikulasikan wawasan itu,  menjadi tuanpunya wawasan itu dengan penuh semangat dan tidak henti-henti menggesa supaya ianya disempurnakan.

Artikulasi bermakna menggalakkan anak-anak berbicara, berbincang dan bersuara. Saya bukan membicarakan tentang kebolehan berpidato seperti juru jual yang licik dan pandai memujuk itu. Yang lebih penting ialah “apa” yang diperkatakan daripada “bagaimana “ ia diperkatakan. Ingatlah pepatah “anda boleh memperbodohkan beberapa orang beberapa kali, tetapi anda tidak boleh memperbodohkan semua orang setiap kali”.

 

Respon

Respon

Respon pula bermakna mencari jalan untuk mereka menyelesaikan masalah. Oleh itu, saya sentiasa menggalakkan kanak-kanak untuk mencuba kerana dengan ini mereka dapat mempelajari sesuatu perkara walaupun daripada sesuatu kesilapan.

 

Nama baik dijaga

Nama baik dijaga

Ini bermaksud cara mereka mengawal diri untuk menaikkan dan mengharumkan nama keluarga. Di mana sahaja mereka pergi mereka perlu diingatkan bahawa mereka bukan hanya membawa diri mereka sahaja tetapi nama baik keluarga juga.

Seorang pemimpin yang baik merupakan contoh terunggul keperibadian seseorang manusia Mereka mempunyai sebuah nama baik yang tak lapuk ditelan zaman.  Pemimpin-pemimpin dunia yang ulung mempunyai ciri-ciri kerperibadian yang antara lainnya adalah seperti berikut:

  1. Mereka perpegang teguh kepada prinsip-prinsip mereka, walau apapun yang datang
  2. Mereka mempunyai tahap kejujuran yang tinggi dan tidak boleh dipesong oleh godaan.
  3. Mereka boleh dipercayai – setengah orang mempercayai pemimpin mereka lebih daripada ahli keluarga sendiri
  4. Mereka mengambil berat tentang orang sepertimana mereka menganbil berat tentang mereka sendiri
  5. Mereka boleh berjenaka dan senang di dampingi
  6. Mereka sentiasa tenang dan mempunyai aura yang positif
  7. Mereka berdisplin dan menurut perentah
  8. Mereka bersopan santun tetapi tegas dan adil

Sekarang bayangkanlah pemimpin agong yang anda minati.  Adakah anda nampak ciri-ciri ini pada dirinya? Adakah anda fikir anak-anak anda boleh jadi sepertinya atau sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan pemimpin itu?

 

Ambil Tindakan

Ambil Tindakan

Semua pemimpin ulung berjaya melaksanakan apa yang mereka janjikan. Mereka bukan sahaja berkongsi wawasan dengan orang lain, bahkan mereka mengambil tindakan untuk melaksanakannya. Mereka berorientasikan tindakan dan memberi tumpuan terhadap penyelesaian. Perbezaan di antara idea yang berjaya dan yang gagal terletak kepada pelaksanaannya. Semua orang boleh melahirkan idea-idea yang bernas sekali sekala tetapi hanya pemimpin-pemimpin ulung dapat melaksanakannya.

Keupayaan mengambil tidakan boleh diterapkan kepada pemimpin muda kita melalui proses ini: kanak-kanak perlu diberi tugasan di rumah sebanyak mungkin mengikut kesesuaian mereka. Setiap orang perlu mempunyai tugas masing-masing dan perlu dilakukan dengan sendiri agar dapat merasai kesusahan dan bukan hanya diberi kesenangan semata-mata.

Akhir kata, sekiranya kita melatih anak-anak kita menjadi pemimpin dengan konsep WARNA ini, insyaAllah mereka akan mampu dan positif dalam menghadapi segala cubaan dan dugaan yang akan ditimpa di masa hadapan. Mereka juga tidak akan mudah mengaku kalah atau berputus asa.

Dengan itu, galakkanlah mereka untuk mencuba, lakukanlah dengan penuh kasih sayang dan berikanlah sepenuh perhatian. Kita tidak perlu meminta mereka melakukan sebaik orang dewasa, kerana hakikatnya ialah mereka masih kanak-kanak. Biarkan mereka bebas menjadi kanak-kanak dan yang paling penting, belajar dari kesilapan..

Sementara itu, marilah kita bersyukur dengan keluarga kita.

Biar belum kaya, asalkan diri bahagia.

Biar tak banyak kuasa. asalakan banyak masa.

Zaid Mohamad adalah seorang Pembimbing Ibu Bapa Bertauliah dari Coach-Parenting USA, penulis buku terlaris "Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat", kolumnis mingguan dan sering muncul di TV dan radio.  Sila lawati Facebook Zaid Mohamad atau laman web www.SmartParents.com.my.